Seramai enam pelajar di daerah Kota Tinggi disahkan dijangkiti penyakit Tuberkulosis (tibi) selepas menjalani saringan ke atas kontak rapat, membabitkan empat pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan.
Walaupun kes berkenaan dikesan, setakat ini pihak berkuasa belum mengeluarkan sebarang arahan untuk menutup sekolah yang terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin memaklumkan bahawa situasi penularan penyakit tersebut masih berada dalam kawalan dan dipantau secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kerajaan negeri, katanya, sentiasa mengikuti perkembangan berkaitan kes tibi yang melibatkan pelajar sekolah di daerah Kota Tinggi.
Semua pelajar yang disahkan positif telah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan mengikut keperluan dan berada di bawah pemantauan rapi KKM selaras dengan prosedur kesihatan yang ditetapkan.
Selain itu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Tinggi turut mengadakan lawatan ke sekolah terlibat bagi mengadakan sesi perbincangan serta penerangan bersama pihak pengurusan sekolah.
Sesi berkenaan diadakan bagi memberi kefahaman mengenai penyakit tibi serta langkah pencegahan yang perlu dipatuhi oleh pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa.
Diingatkan Untuk Sentiasa Patuhi Garis Panduan KKM bagi Mengelakkan Penularan Penyakit Tibi
Dalam masa yang sama, Aznan menegaskan kepentingan semua institusi pendidikan untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang dikeluarkan KKM, termasuk menjaga kebersihan persekitaran, memantau tahap kesihatan murid serta melaksanakan tindakan susulan yang disarankan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu ini kerana ia boleh menimbulkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat.
Sebarang perkembangan atau maklumat rasmi, jelasnya, perlu dirujuk melalui kenyataan KKM atau saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor.
Menurut Aznan, Kerajaan Negeri Johor kekal komited untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pelajar serta warga sekolah sentiasa terpelihara melalui kerjasama berterusan bersama KKM dan pihak berkaitan.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan memaklumkan bahawa satu kluster tibi telah dikenal pasti di Kota Tinggi dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan terhadap 804 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat sejak 25 Januari lalu sehingga semalam.
BACA JUGA : 33 Kes Tibi Dikesan Di Kota Tinggi
Beliau turut menjelaskan bahawa satu kematian direkodkan dalam kluster tersebut, namun ia disahkan tidak berpunca daripada jangkitan penyakit tibi.
Sumber : Hmetro











