Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memaklumkan bahawa satu penularan wabak Tuberkulosis (Tibi) telah dikenal pasti di sebuah kawasan penempatan dalam daerah Kota Tinggi, Johor.
Hasil saringan aktif yang dijalankan dari 25 Januari hingga 4 Februari mendapati sebanyak 33 kes positif dikesan daripada keseluruhan 804 individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat.
Menurut JKNJ, semua individu yang disahkan dijangkiti telah memulakan rawatan dan kini berada di bawah pemantauan berterusan di kemudahan kesihatan berhampiran.
Dalam perkembangan berkaitan, jabatan itu turut mengesahkan terdapat satu kes kematian melibatkan pesakit yang dijangkiti, namun punca kematian tersebut bukan disebabkan oleh penyakit Tibi.
Bahaya Tibi
JKNJ menjelaskan bahawa Tibi atau batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis, yang boleh merebak melalui udara terutamanya kepada individu yang berada dalam jarak dekat dengan pesakit.
Antara tanda-tanda jangkitan Tibi termasuk batuk yang berlarutan, penurunan berat badan secara mendadak, kehilangan selera makan, kerap berpeluh pada waktu malam serta batuk berdarah.
Tambahnya lagi, penyakit ini boleh dicegah dan dirawat sepenuhnya sekiranya rawatan yang berkesan diikuti secara konsisten, dengan tempoh rawatan minimum selama enam bulan.
Sehubungan itu, JKNJ menggesa penduduk di kawasan terlibat dan kawasan sekitar, khususnya mereka yang mengalami batuk berpanjangan atau pernah mempunyai kontak rapat dengan pesakit Tibi, agar mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera di fasiliti kesihatan berhampiran bagi mengelakkan penularan penyakit ini terus merebak.
Sumber : X KKM












1 thought on “33 Kes Tibi Dikesan, Wabak Disahkan Berlaku Di Kota Tinggi”
Comments are closed.